Monday, November 20, 2006

Mohammad Husayn Beheshti: Lambang sebuah negara

Ayatollah Dr. Seyyed Mohammad Husayn Beheshti (24 Oktober, 1928 – 28 Jun, 1981) merupakan antara ulama’ Iran yang terkemuka, dan pernah menjadi setiausaha agung Parti Republik Islam. Malah, Beheshti turut merupakan ketua yang disegani di badan kehakiman Republik Islam sewaktu awal-awal revolusi.

Beheshti dilahirkan di Lomban, dalam daerah Isfahan dari kalangan keluarga yang mempunyai tradisi agama yang kental. Di sana, Beheshti mendapat pendidikan awal secara tradisional dan mula menonjolkan bakat ilmunya. Ketika pendidikan menengah, iaitu semasa menuntut di Sekolah Sadr, juga di Isfahan, Beheshti semakin menunjukkan minat mendalam terhadap ilmu teologi.

Pada 1946, sewaktu berumur 18 tahun, Beheshti menuju ke Qom untuk mendalami beberapa ilmu seperti Sath, Kefayeh dan Makasib. Dan, dalam waktu yang sama, Allamah Tabatabaei kembali ke Qom dari Najaf al-Asyraf dan memulakan kelas falsafah di sana. Dan, ini menarik minat Beheshti untuk turut sama menyertai kelas Tabatabaei tersebut.

Beheshti kemudiannya melanjutkan pengajian ke Universiti Tehran dan memperolehi Sarjana Muda pada tahun 1951. Setelah itu beliau kembali ke Qom dan mula mengajar di Sekolah Tinggi Hakim Nezami sebagai guru bahasa Inggeris. Dan, setahun kemudian, Beheshti berkahwin dengan salah seorang kerabat keluarganya, lalu dikurniakan empat orang cahaya mata.

Pendidikannya berterusan sehinggalah pada tahun 1959, Beheshti berjaya menamatkan ijazah kedoktorannya (Ph.D), juga di Universiti Tehran, dalam bidang falsafah teologi dengan mempertahankan tesisnya The Problems of Mabad ul Tabi’e in Quran di bawah seliaan Professor Murtadha Muthahhari.

Manakala, pada tahun 1963, atas cadangan dari Ayatollah Ha’eri dan Ayatollah Milani, Beheshti dipilih untuk memimpin Pusat Islam di Hamburg, Jerman, di mana organisasi ini bertanggungjawab terhadap aktiviti agama mahasiswa dari Iran yang berada di Jerman dan Eropah Barat. Di samping itu, Pusat Islam Hamburg ini juga merupakan markaz untuk memobilasi gerakan rakyat Iran di Eropah untuk menumbangkan regim Shah.

Dalam tempoh yang sama juga, Beheshti berpeluang untuk menunaikan fardu Haji di Arab Saudi sembari juga berkunjung ke beberapa buat negara seperti Syria, Turki, Lubnan untuk menemui Imam Mousa Sadr dan di Iraq untuk menziarahi Ayatollah Ruhollah Khomeini, pemimpin gerakan rakyat Iran dalam buangan.

Malah, ketika Hamburg inilah juga Beheshti pernah dibantu oleh Mohammad Khatami, mantan Presiden Iran selama dua penggal (1997-2005) yang akrab dengan gerakan reformis. Bahkan, dari pengalaman bersama inilah Khatami dikatakan banyak terpengaruh dengan corak pemikiran Beheshti.

Semenjak 1960-an lagi, Beheshti telah terlibat dengan serius dalam kegiatan subversif yang memberi ancaman kepada kekuasaan regim Shah. Lantaran aktiviti-aktiviti seperti inilah, Beheshti telah beberapa kali ditahan oleh Agensi Polis Rahsia Iran, Sazman-i Ittila’ a-i Va Amniyat-i Keshvar (SAVAK) atas alasan memberi gugatan terhadap keselamatan negara.

Pasca revolusi, Beheshti merupakan tokoh yang mempunyai peranan yang signifikan. Selain menjadi ahli Majlis Revolusi Islam, yang mana akhirnya majlis ini diketuainya kemudian, Beheshti turut mengetuai badan kehakiman Republik Islam Iran. Bakat perundangan yang dimiliki oleh Beheshti ini dikatakan warisan daripada Haj Mir Mohammad Sadiq Modarres Khatunabadi, datuknya yang pernah menjadi rujukan fatwa dari masyarakat tempatan sebelum itu.

Di awal-awal penubuhan Parlimen Iran ketika pasca-revolusi, Bahehsti dipilih untuk memimpin Parti Republik Islam, sebagai setiausaha agung sambil dibantu oleh Ali Akhbar Hashemi Rafsanjani, Ali Khamenei serta beberapa tokoh yang lain. Malah, Beheshti pernah dicanangkan sebagai tokoh popular untuk menjadi presiden Iran yang pertama selepas revolusi.

Namun, Beheshti memilih berundur dari dicalonkan setelah Khomeini, sebagai Rahbar ketika itu kelihatan cenderung untuk meletakkan Presiden dari kalangan bukan ulama’. Ekoran itu, Parti Republik Islam telah mencadangkan nama Jalaleddin Farsi. Walau bagaimanapun, akibat dari hal yang tidak dijangka, nama Abolhassan Banisadr pula diusulkan kemudian.

Lebih mengejutkan lagi, Khomeini kemudiannya telah mengarahkan pembatalan pendaftaran Parti Republik Islam yang dipimpinnya itu, berserta parti-parti lain. Tindakan Khomeini ini dikatakan bertujuan untuk mengelakkan dampak yang ditimbulkan oleh fahaman hizbiyyah dari kewujudan parti-parti politik, termasuklah dari Parti Republik Islam sendiri.

Malangnya, belum sempat bakat kepimpinan Beheshti memuncak, akhirnya Beheshti syahid bersama-sama 72 orang yang lain ekoran suatu serangan bom pada Jun 1981. Ini berlaku sewaktunya sedang menghadiri persidangan anjuran parti. Menurut satu sumber rasmi, serangan tersebut dilakukan oleh kumpulan Sazman-i Mojahedin-i Khalq-i Iran, atau terkenal juga dengan panggilan Sazman-i Munafiqin-i Khalq-i Iran oleh para pendukung revolusi.

Setelah revolusi, Sazman-i Mojahedin-i Khalq-i Iran diketahui umum yang telah banyak melancarkan operasi pembunuhan terhadap para pemimpin dari kalangan Parti Republik Islam. Antara yang terkorban dalam serangan yang dilakukan secara berasingan ialah Javad Bahonar dan Ali Rajai yang merupakan Presiden dan Perdana Menteri Republik Islam Iran. Malah, teman baik dan guru Beheshti sekaligus Ketua Majlis Perlembagaan Republik, Murtadha Muthahhari turut terkorban.

Namun, menariknya dalam satu teori konspirasi popular ada menyatakan bahawa serangan tersebut merupakan rancangan Rafsanjani sendiri, yang di dapati telah meninggalkan persidangan tersebut lebih awal. Ironinya, teori konspirasi yang sama juga pernah menimpa Beheshti sebelum itu yang dianggap berperanan terhadap kematian tiba-tiba Mahmoud Taleghani, seorang ulama’ progesif yang dekat dengan mahasiswa.

Walau apapun susur teori konspirasi ini, syahidnya Beheshti hakikatnya telah meninggalkan sebuah nama harum yang sememangnya amat sukar dicari ganti. Malah, betapa Khomeini sendiri pernah mengangkat sumbangan Beheshti sebagai mewakili sebuah negara. Dan, di dataran Beheshti-Zahra akhirnya menjadi saksi bersemadinya jasad yang penuh berbakti ini.

Sayyid Jamaluddin Al-Afghani: Merintis refomasi Islam

Sayyid Jamaluddin Al-Afghani (1838/9–1897) merupakan antara tokoh awal yang mengungkapkan kembali tradisi Muslim dengan pendekatan yang dinamik. Seruannya ini tidak dinafikan merupakan sebahagian daripada reaksinya terhadap konflik-konflik yang muncul ekoran sikap Barat di Timur-Tengah pada abad ke-19.

Sebagai reformis Islam pertama, yang pengaruhnya dirasakan di beberapa negara, Afghani memicu kecenderungan untuk menolak kedua-dua beban ummat, sama ada tradisionalisme dan pembaratan. Meskipun Afghani di kemudian hari, serta semenjak meninggalnya, ia telah dikaitkan khususnya dengan gerakan Pan-Islamisme. Namun, tulisan pan-Islamismenya hanya timbul belakangan, iaitu sekitar 1880-an.

Dalam hidupnya, Afghani mempromosikan berbagai sudut pandang yang sering dianggap bertentangan. Dan, fikirannya juga memiliki affinity dengan berbagai kecenderungan yang terdapat di dalam dunia Muslim. Ini meliputi liberalisme Islam yang diserukan, khususnya oleh Muhammad’Abduh, orang Mesir yang menjadi muridnya.

Pada masa mudanya Afghani dididik di Iran, dan juga di kota-kota suci lain di Iraq sehingga Afghani berjaya menguasai falsafah Islam dan juga perbandingan mazhab yang sarat terdapat dalam pengalaman Islam.

Tidak seperti dunia Arab dan Turki, di mana kebanyakan falsafah (yang mendapat inspirasinya dari Yunani selama berabad-abad) tidak diajarkan secara langsung kerana dianggap menyimpang dari Islam. Sebaliknya, di Iran tradisi falsafah terus berlangsung. Manakala, buku-buku karya Ibn Sina dan di kemudian hari karya failasuf Iran banyak diajarkan di sekolah keagamaan.

Ketika ke Istanbul, pada tahun 1869-70, Afghani mengemukakan banyak gagasan yang berasal dari anjuran failasuf Islam. Malah, ketika ke Mesir pada 1870-an, Afghani mengajar anak-anak muda di sana tentang fikiran-dikiran failasuf dalam dunia muslim.

Perjalanan yang panjang dalam hidup Afghani telah dilalui dengan berdakwah di banyak negara. Pada usia yang masih muda, sekitar 20 tahun, Afghani sudah pergi ke India dan berjuang untuk mengusir pemerintahan Inggeris dari bumi Muslim di India. Setelah tinggal di India, Afghani pergi menunaikan fardu haji ke Makkah, lalu ke kota-kota di Iraq, dan kemudiannya ke Afghanistan melewati Iran.

Perjuangannya yang anti-Inggeris ini menyebabkan Afghani harus keluar dari Afghanistan pada Disember 1868, kerana jatuhnya A’zham Khan dan naik takhtanya Shir’Ali yang pro-Inggeris. Kemudian, Afghani ke Bombay, Kaherah, lalu ke Istanbul pada 1869.

Pada 1870, Afghani diangkat menjadi menjadi anggota Dewan Pendidikan Uthmaniyyah. Kerana popularitinya sebagai ahli pendidikan yang terkemuka, Afghani diundang untuk menyampaikan kuliah umum. Namun, kuliah umum ini akhirnya telah menimbulkan reaksi yang keras dari para ulama’, kerana dianggap menyimpang dari ajaran agama. Akibatnya Afghani diusir dari Istanbul.

Setelah itu Afghani pergi ke Kaherah. Di Kaherah ini, Afghani mendirikan akhbar yang membahas isu-isu politik -- seiring dengan perubahan kekuasaan di Mesir, yang ketika itu di bawah Pemerintahan yang pro-Inggeris, Taufiq. Afghani akhirnya diusir dari Mesir kerana sikapnya yang anti-Inggeris tersebut.

Kemudian Afghani pergi ke Hyderabad di India Selatan. Dari India, Afghani ke London, dan kemudian pada 1883 ke Paris. Di Paris, Afghani bersama dengan Muhammad ‘Abduh, mereka menerbitkan akhbar berbahasa Arab, Al-‘Urwah Al-Wuthqa. Sebelum meninggal pada tahun 1987 di Iran, Afghani sempat berkunjung ke Russia, Eropah dan Iraq.

Afghani merupakan tokoh besar dalam dunia Muslim. Afghani begitu menekankan bahawa Islam dalam faham yang benar, merupakan satu kekuatan yang sangat signifikan untuk menangkis serangan-serangan Barat, dan sekaligus berupaya untuk meningkatkan kembali solidariti kaum Muslim.

Seruannya jelas menuntut perubahan dalam sistem politik Islam. Di samping itu, Afghani mengkritik kepada mereka yang memihak terhadap imperialisme Barat atau apa sahaja yang boleh memecah-belah umat Islam. Ini semuanya antara tema-tema yang diperjuangkannya sepanjang hidupnya.

Muhammad Taqi Mishbah Yazdi: Failasuf semasa Iran

Dilahirkan pada Januari 1934 di kota Yazd, Iran dari kalangan keluarga religius. Di kota kelahirannya ini, pada tahun 1947, Ayatollah Muhammad Taqi Mishbah Yazdi telah menamatkan pendidikan asasnya dalam ilmu-ilmu Islam. Ekoran meraih keputusan yang cemerlang, Mishbah Yazdi telah berjaya memasuki Hawzah di Yazd serta menamatkan pendidikannya dalam tempoh empat tahun di bawah bimbingan Shaykh Muhammad Ali Nahawi.

Namun, untuk lebih arif dalam bidang ilmu-ilmu Islam ini, Mishbah Yazdi mengambil keputusan berangkat ke Najaf al-Ashraf, di Iraq. Selama setahun di Najaf, Mishbah Yazdi kemudiannya telah dihimpit dengan faktor kewangan yang terbatas. Ekoran daripada kesulitan ini, Mishbah Yazdi akhirnya memilih untuk kembali semula ke Iran sambil meneruskan pengajian formalnya di Qum al-Muqadassah.

Dari tahun 1952-1960, di Qum ini, Mishbah Yazdi dengan penuh tekun telah mengikuti kuliah-kuliah fiqh yang dianjurkan oleh Ayatollah Ruhollah Khomeini, dan dalam selang waktu yang sama turut menghadiri kuliah tafsir dan falsafah, kuliah Al-Syifa’ (dari karya Ibn Sina) dan kuliah Al-Asfar (dari karya Mullah Shadra) yang dianjurkan pula oleh Allamah Thaba’thaba’e.

Di samping itu juga, Mishbah Yazdi selama hampir lima belas tahun turut menuntut dengan Ayatollah Bahjat dan Ayatollah Ansari. Sungguhpun begitu, pembelajaran berkesan dengan Ruhollah Khomeini berakhir dengan pengusiran ikon hawzah tersebut dari Qum. Selama Ruhollah Khomeni di dalam tempoh pengusiran di Najaf al-Asyraf, Mishbah Yazdi menekuni pula ilmu-ilmu dalam bidang sosial Islam, jihad, perundangan serta permerintahan Islam.

Sekitar tahun 1964, Mishbah Yazdi berkerja sama erat dengan Ayatollah Shahid Husayn Baheshti, Syahid Javad Bahonar serta Hujjatul Islam Hashemi Rafsanjani untuk melakukan gerakan kebangkitan rakyat bagi menentang rejim Shah Pahlevi. Dalam kesibukan aktiviti sosial ini, Mishbah Yazdi masih lagi sempat menulis dua karya iaitu Bi’tsat (Misi Kenabian) dan Intiqam (Tindak Pembalasan), yang terbitkannya sendiri.

Selama mengajar di Qum, Mishbah Yazdi bersama-sama dengan kalangan ulama’-ulama yang lain telah bersatu mendirikan organisasi politik ulama’ Qum, yang diketuai oleh Ayatollah Rabbani Syirazi. Organisasi ini turut dianggotai oleh Ayatollah Ali Khamenei, Hashemi Rafsanjani dan Syahid Ali Quddusi. Namun, aktiviti organisasi ini akhirnya disekat oleh rejim Shah Pahlavi menerusi badan kerahsiaan Savaknya.

Keadaan ini telah mengugat kestabilan di Hawzah-hawzah hingga memaksa ramai pimpinan organisasi ini menyembunyikan diri, termasuklah Mishbah Yazdi sendiri. Dan, setelah keadaan politik mula tenang, Mishbah Yazdi kembali semula ke Qum dan meneruskan aktivitia-aktiviti keilmuannya seperti biasa, di samping merangka kerjasama dengan sekolah Muntaziriyyah.

Kemudian, iaitu bermula pada tahun 1975, Mishbah Yazdi mula membangunkan Institut Dar Rah e-Haqq bersama-sama dengan Ayatollah Jannati, Husayn Baheshti dan Ali Quddusi. Selama kira-kira sepuluh tahun terlibat dalam institut ini, Mishbah Yazdi berpeluang menyampaikan ilmu-ilmu falsafah serta melakukan kajian tematik terhadap Al-Qur’an.

Tika yang sama, atas dorongan serta dukungan kuat Ruhollah Khomeini, Mishbah Yazdi secara serius mula terlibat dalam mendirikan sejumlah Institut-institut pendidikan yang lain. Dan, di antara institut yang utama yang didirikan ialah Yayasan Baqir al-‘Ulum dan Institut Pendidikan & Penyelidikan Imam Khomeni.

Kemudian, setelah kemenangan revolusi Islam, iaitu selepas 1979, Mishbah Yazdi banyak meluangkan waktu dengan mengajar di hawzah-hawzah di Qum sambil cuba mencari pendekatan bagi merapatkan hubungan antara Hawzah dan universiti.

Dan kini, Mishbah Yazdi merupakan ahli Majelis-e Khubregan (Dewan Ulama' Revolusi) semenjak 1996 dengan mewakili wilayah Khuzestan, sambil memimpin Institut Pendidikan & Penyelidikan Imam Khomeni. Kerana sumbangannya dalam bidang pemikiran dan falsafah, beliau dewasa ini telah dijuluki sebagai Muthahhari II, suatu nama sempena mengenang pemikiran luar biasa Ayatollah Syahid Murtadha Muthahhari.

Di dalam banyak karyanya, terdapat beberapa karyanya yang tersohor seperti Chikideh-ye Bahts-e Falsafi (Ringkasan Perbahasan Falsafah), Pasdari Az Sangarha-ye Iydi’uluzhik (Pengawal Benteng Idealogi), Iydi’uluzhi-e Tathbiqi (Perbandingan Idealogi), Durus Falsafah (Pelajaran Falsafah), Ma’arif Al-Qur’an (Ajaran-ajaran Al-Qur’an), Hukumat-e Islami va Vilayat-e Faqih (Pemerintahan Islam dan Kepimpinan Faqih) dan Syarh-e Asfar al-Arba’ah (Syarah atas Empat Perjalanan).

Dalam satu bukunya lagi Amuzesh-e Falsafeh (Pengatar Falsafah), Mishbah Yazdi cuba untuk menonjolkan kekuatan rasionaliti dalam kehidupan beragama sembari mengajak umat kembali menghayati khazanah Al-Qur’an dari sisi-sisi yang jarang disentuh oleh ilmuan-ilmuan Islam yang lain. Malah, Mishbah Yazdi dengan nada falsafah, turut menekankan konsep tawhid dari perspektif yang sangat indah sekali.

Tidak hairanlah, lantaran kelebihan yang terhimpun dalam pemikirannya ini, maka Ayatollah Ali Khamenei dengan jujur menyatakan, “salah satu cara untuk memperdalamkan pegetahuan kita tentang Al-Qur'an adalah dengan mengkaji tulisan-tulisan Murtadha Muthahhari serta kearifan cendekiawan semasa seperti Muhammad Taqi Mishbah Yazdi, yang mana mereka ini sangat-sangat memahami asas intelektual Islam."

Allama Thaba’thaba’e: Ulama’ failasuf

Dalam lembaran sejarah, terdapat tokoh-tokoh yang mempunyai sumbangan dan peranan di sepanjang hidup mereka dengan memperjuangkan makna sebuah kebenaran. Mereka memiliki keistimewaan luar biasa hasil daripada pancaran petunjuk Ilahi kepada wajah-wajah murni mereka. Di sini, Allah swt telah mengurniakan ilmu pengetahuan, hikmah dan makrifah kepada mereka ini serta menyempurnakan tanda-tanda kekuasaan Allah swt ke atas diri mereka.

Maka, dengan itu, kedudukan mereka yang agung itu selaras pula dengan tingkah laku serta akhlak mereka yang membuktikan nilai-nilai kebenaran dan keikhlasan. Maka dengan itu, kemuliaan tokoh-tokoh seperti ini sentiasa berkekalan dengan ikatan serta pemikiran yang membawa kepada sumbangan dan perananya yang mulia dan agung di tengah-tengah masyarakat.

Ulama’ failasuf besar, Allama Thaba’thaba’e jika disorot dalam perspektif ini, telah berada di bawah naungan qudrah Allah swt di mananya telah berkelana di dalam ilmu pengetahuan Allah swt. Pencarian ilmu yang dirintis oleh Allama Thaba’thaba’e ini sungguh mendalam dan mengagumkan kita.

Semenjak asyik dengan ilmu, Allama Thaba’thaba’e sentiasa menyeru kepada kehidupan Islam yang sejati serta mencapai tahap aktiviti pengajian dan penghasilan karya-karya yang Islami. Kesemua keringat dan penat lelahnya itu adalah untuk mencapai keredhaan Allah swt serta berjuang di atas garis untuk mencapai kasih sayang para Anbiya’ Allah dan wali-waliNya. Inilah apa yang dinyatakan dari semua karya yang dinukilkannya.

Allama Thaba’thaba’e telah diputerakan pada tahun 1231 Hijriyyah di kota Tabriz, Iran dan di sanalah juga beliau mendapat didikan awalnya. Ketika usianya menjangkau 23 tahun, Allama Thaba’thaba’e berhijrah ke Najaf al-Asyraf untuk menimba ilmu pengetahuan. Di Bandar yang agung dan suci itu, Allama Thaba’thaba’e telah meraih satu tahap ilmu pengetahuan yang mendalam dan menakjubkan.

Di sini, Allama Thaba’thaba’e telah memberi tumpuan yang serius semasa pengajiannya terhadap ilmu-ilmu yang berhubung dengan hikmah, usul, tafsir dan feqah. Allama Thaba’thaba’e nekad tidak akan meninggalkan Bandar Amirul Mukminin Ali Abi Thalib itu sehinggalahnya mencapai tahap seorang Faqih.

Setelah itu, Allama Thaba’thaba’e kembali ke Bandar Qum sebagai seorang ulama’ pendidik. Di sana, Allama Thaba’thaba’e berjaya menghimpunkan beratus-ratus penuntut ilmu-ilmu Islam daripada seluruh pelusuk bumi Iran yang datang untuk mendapat tarbiyyah dan pemikiran daripadanya. Dalam waktu yang singkat sahaja, Allama Thaba’thaba’e telah menjaid terkenal sebagai seorang ulama yang agung.

Walaupun dalam waktu yang singkat itu, Allama Thaba’thaba’e telah membuktikan daya intelektualnya dan kretivitinya dalam bidang yang diceburinya itu. Hal ini dapatlah kita semak daripada betapa kukuhnya buah pemikiran yang dihidangkannya kepada kita, d mananya menukilkan kepada kita sebesar-besar tafsir Al-Qur’an al-Karim di abad ini, yang dinamakannya sebagai Al-Mizan. Kitab tafsir yang agung ini mempunyai 20 buah jilid yang dihasilkannya dengan memakan masa 20 tahun yang berturut-turut.

Al-Mizan memiliki keluasan ilmu pengetahuan Islam yang dipancarkan dari kebenaran Al-Qur’an yang sudah tentu untuk menghasilkannya memerlukan kepada khazanah ilmu dan keupayaan yang mendalam dan agung. Malah, As-Syahid Ayatollah Murtadha Muthahari menyatakan bahawa Al-Mizan merupakan sebaik-baik kitab tafsir yang dapat diketahui oleh sejarah Islam dewasa ini. Aspek-aspek yang mendalam yang terangkum dalam Al-Mizan tidak terdapat dalam tulisan dan karya yang lain.

Suatu perkara yang agak luar biasa bagi seorang ulama’ sepertinya yang terkenal dengan kepakaran dalam pelbagai lapangan ilmu pengetahuan ialah komitmen tenaganya yang sungguh-sungguh di dalam pengajian falsafah dengan menghasilkan pelbagai karya yang menyentuh mengenai bidang ini.

Begitu juga, Allama Thaba’thaba’e bukan sahaja menghasilkan karya-karya yang mengolah mengenai bidang sosial dan politik, tetapi lebih jauh daripada itu, Allama Thaba’thaba’e melalui landasan pengolahan dan pentafsiran yang lebig luas dari maksud itu. Umpamanya, beliau telah menulis Al-Hukumah fi al-Islam yang diterjemahkan ke dalam bahasa Arab oleh Hujjatul Islam Asy-Syeikh Muhammad Mahdi Al-Ashfi.

Dengan sumbangan besar ini, Allama Thaba’thaba’e meninggalkan kesan yang ketara dan berpengaruh di kalangan ummat Islam, di dalam mendorong kesedaran politik yang dicorak oleh agama, terutamanya di kalangan mahasiswa universiti di ketika beliau di Iraq. Dari titik tolak sumbangan beliau ini, ia telah memberi kesan positif dan berterusan kepada para pengikut dan penuntutnya yang telah berusaha mengikuti jejak langkahnya yang benar itu.

Di samping itu, para ilmuan dan cendikiawan pun turut terpengaruh dengan aliran pemikirannya. Allama Thaba’thaba’e bukan sahaja terkenal sebagai perintis yang membuka lembarna pemikiran Islam, tetapi Allama Thaba’thaba’e juga dikenali di kalangan golongan bukan Islam yang mengambil berat tentang ilmu-ilmu keIslaman.

Sebagai contohnhya, Henry Corbin, seorang orientalis yang dekat dengan tradisi Persia, telah memetik sebahagian daripada pandangannya yang berhubung dengan sejarah dan falsafah Islam. Karya-karya Allama Thaba’thaba’e juga pernah tersiar di dalam majalah-majalah dan buku-buku yang tersohor.

Selain daripada itu, keistimewaan ulama’ faqih ini juga dapat di lihat dari perspektif betapa tingginya nilai ketaqwaannya dan pergaulannya. Malah, Muthahhari yang pernah terdidik di bawah asuhannya pernah berkata, “aku menuntut dengannya selama sepuluh tahun, dan aku tidak mendapatinya melakukan walau suatu perkara pun yang makruh di sisi hukum syariat.

Jadi, perbahasan akhlak yang dikemukakan dengan banyaknya oleh Allama Thaba’thaba’e di dalam tafsir Al-Mizan itu akan sempurna termanifestasi dalam pelaksanaan akhlaknya yang amali. Semua orang yang pernah membaca pemikirannya yang menekankan aspek akhlak serta mengenali akhlaknya nescaya mereka kan mendapati jalan hidup yang dilaluinya selari dengan apa yang ditulisnya.

Realitnya, apa yang ditekankan oleh Allama Thaba’thaba’e terjelma pula secara nyata berhubung dengan hakikat ini. Sepertimana yang dimaklumi, Allama Thaba’thaba’e merupakan jaluran akhlak dari bapanya yang mendidik serta mendorongnya untuk bergelumang dengan ilmu pengetahuan Islam.

Keistimewaan sang faqih ini, yang dengan jiwanya yang lembut dan mulia itu, dapat disaksikan dengan pelbagai tauladan di sepanjang garisan kehidupannya. Ini termasuklah tangisannya yang mengharukan apabila menerima khabar kesyahidan penuntutnya, yang sekaligus di anggap sebagai sahabatnya, Muthahhari, di tangan golangan munafiqin khalq.

Selain itu, Allama Thaba’thaba’e turut memberi penentangan yang terus-menerus terhadap regim Shah dan beliau sendiri berdepan dengan serangan Savak di Madrasah Faiziyyah, Qum yang menyebabkan gugur syahidnya penuntut-penuntutnya yang mulia. Peristiwa ini telah mencetuskan titik yang sungguh luhur di dalam sejarah hidupnya dan mensyahdukan mereka yang terlibat dengan kegiatan ilmu pengetahuan.

Demikian juga pendirian failasuf Islam yang agung ini terhadap kebangkitan Islam yang diterajui oleh Al-Imam Ruhollah Al-Khomeini. Pendiriannya dapat diperhatikan secara konsisten semenjak 20 tahun lagi sebelum kemuncak kebangkitan tersebut pada tahun1979. Allama Thaba’thaba’e telah mendukung perjuangan Ruhollah Khomeni ini berdasarkan kepada dalil revolusioner serta kesungguhannya untuk mendaulatkan agama dan syariat.

Selanjutnya, Thaba’thaba’e berkesempatan dalam hayatnya untuk sama-sama menyalurkan sumbangan yang signifikan ke arah tertegaknya Republik Islam di Iran. Akhirnya, kita juga harus akui bahawa pemimpin revolusi Islam, Ruhollah Khomeini sendiri turut terdidik, terasuh dan terbina di bawah naungan insan yang agung ini, dengan izin Allah swt.

Dan, setelah sempat menikmati kemenangan Revolusi Islam, pada tanggal 15 November 1981, ulama’ failasuf yang zuhud ini telah kembali menyahut penggilan Ilahi ketika berusia 80 tahun. Moga-moga, segala jasa baktinya bukan sahaja diberkati oleh Penciptanya, malah ia dapat manfaati oleh ummat manusia setelahnya.

Abdul Aziz Al-Rantisi: Lokomotif HAMAS

Dr. Abdul Aziz Al-Rantisi di lahirkan pada tahun 1947 di desa Yabna, sebuah kampung dalam daerah Asqalan, Israel. Beliau di percayai berasal dari kalangan keluarga besar yang melata antara Damsyik, Amman, dan Semenanjung Gaza. Manakala, minat Rantisi pada dunia politik sebenarnya sangat di dorong oleh penderitaan yang dialaminya semenjak kanak-kanak lagi.

Daripada suasana keperitan sebeginilah yang mencorak keperibadiannya yang sangat tegas dan sukar untuk berkompromi terhadap sebarang kezaliman. Beliau juga terkenal sebagai orator yang mampu memukau puluhan ribu pendengar. Di samping itu, beliau sering kali menjadi khatib shalat Jumaat di masjid-masjid sekitar Semenanjung Gaza.

Alumni Fakulti Perubatan Universiti Alexandria, Mesir, tahun 1971 ini telah mencebur diri dalam perjuangan secara serius semasa beliau menuntut lagi. Ketika di universiti beliau telah mula berhubungan dengan tokoh-tokoh Islam Mesir seperti Sheikh Mahallawi, Sheikh Mahmoud Ied, Ustaz Isa Abduh, dan Ustaz Adil Ied.

Kerana kekagumannya terhadap pergerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir, pada tahun 1972, sekembalinya dari Alexandria, Rantisi terus bergiat sebagai doktor di bandar Khan Yunis. Di khabarkan pada satu peristiwa, beliau telah mengumpulkan para doktor Palestin sambil mengancam untuk melakukan aksi mogok sebagai tanda protes di atas perlakuan tidak adil oleh penjajah Israel yang ketika itu mengendalikan urusan kesihatan di wilayah Palestin. Susulan daripada tindakan tersebut, penjajah Israel lantas meluluskan tuntutan kumpulan Rantisi yang mendesak agar sebahagian para doktor Palestin di benarkan meneruskan pengajian ke peringkat sarjana.

Satu perkara yang kurang diketahui ramai ialah peristiwa yang berlaku semasa beliau di tahan dalam penjara oleh penjajah Israel. Pada ketika itu, beliau terkurung di sel tahanan Negev di samping beliau telah ditempatkan di dalam sel tahanan yang terasing selama tiga bulan. Dan, pada kesempatan tersebut telah di gunakan sebaik-baiknya oleh Rantisi untuk menghafal al-Quran.

Setelah di bebaskan dari tahanan tersebut, Rantisi telah mengkoordinasikan para doktor Palestin untuk kembali melancarkan mogok pada tahun 1981, yang akhirnya menyebabkan tercetusnya pergerakan penentangan terhadap penjajah Israel. Lalu, ekoran daripada insiden tersebut, beliau telah dikenakan tahanan dalam rumah serta dilarang melakukan tugas-tugasnya sebagai seorang doktor di kliniknya sendiri.

Lantaran kekangan yang tidak bertamadun tersebut, Rantisi membuat keputusan untuk menjual kliniknya pada tahun 1983 dan kembali berkerja dengan salah sebuah Hospital di Palestin. Sebaliknya pada 1985, Israel yang sekian lama tidak senang dengan aktiviti dan pengaruh beliau, telah memecat Rantisi dari tempat kerja tersebut. Semenjak dari itu, Rantisi bekerja sebagai tenaga akademik di Universiti Islam di Gaza City serta turut menjadi khatib tetap yang begitu popular di Masjid Rahmah, Semenanjung Gaza.

Akhirnya, pada 9 November 1987, setelah menimbang segala kemungkinan, Rantisi bersama-sama As-Syahid Sheikh Ahmed Yassin telah mengasaskan Hamas. Bersamaan dengan itu juga bumi Palestin telah bergoncang dengan ledakan intifada pertama yang berakhir pada tahun 1993 susulan daripada perjanjian damai Oslo antara Israel dan PLO.

Bermula daripada detik inilah, Rantisi seringkali menjadi jurubicara rakyat Palestin dalam mempertahankan hak-hak rakyat Palestin dari mangsa kekejaman Israel. Karismatik peimpinannya, memang jelas tidak di senangi oleh Israel. Apatah lagi beliau cukup berwibawa bilamana berdepan dengan segala macam media massa yang di ketahui amat gemar dengan kemampuan bahasa Inggeris. Manakala, ketika tercetusnya intifadha kedua pada tahun 2001, Rantisi juga telah memperlihatkan keperibadiannya sebagai seorang pejuang yang di geruni oleh penjajah Israel selepas Syeikh Ahmad Yasin dan Khaleed Mashaal.

Setelah pemergian pemimpin spiritual HAMAS, Syeikh Ahmad Yassin sebelan yang lalu, Rantisi telah secara konsesus telah di lantik untuk memimpin HAMAS di semananjung Gaza. Namun, Israel jelas tidak senang dengan pendirian "garis keras” yang dianuti oleh Rantisi. Dan, sebelum sempat beliau mencatur strategi perjuangan pasca kesyahidan Syeikh Ahmad Yassin, beliau juga turut menyusuli jejak langkah bekas pemimpinnya itu.

Namun, sebelum beliau pergi, sempat beliau memberi amaran kepada penjajah Israel, “Saya ingin katakan kepada anda agar anda sentiasa bertenang, seandainya Rantisi, Az Zahhar, Haneya, Nazzar Rayyan, Said Sayyam, dan semuanya pergi gugur syahid, demi Allah kami akan bertambah gemilang dan semakin mencintai jalan ini. Tangan-tangan kita yang menggenggam senapang di dunia Insyallah, ruh-ruh kita akan berpelukan di sisi Allah. Kerananya, silakan Ariel Sharon dan kaum konspirator memetik harapannya di sini, tetapi kami akan tetap meneruskan perjuangan ini. Jalan kami memang sukar. Namun, inilah satu-satunya jalan yang membawa kami kepada cita-cita kami.”

Sesungguhnya, pada 17 April 2004, Rantisi telahpun memenuhi cita-citanya. Rantisi telah mengisi hidupnya dengan penuh makna, lalu pergi pula dengan meninggalkan pesan-pesan kemanusiaan. Mudah-mudahan nama Abdul Aziz Al-Rantisi terus kekal dalam lipatan sejarah kaum mustadh'afin.

Ruhollah Khomeini: Pemelihara ingatan

Budaya agama kita tentunya tidak akan membawa kita mendekatinya. Dilahirkan pada 24 September 1902, dalam sebuah keluarga yang ketat dengan tradisi agama, dan di sebuah di daerah kecil, Khomein, iaitu ditengah-tengah Iran. Ketika berusia lima bulan, ayahnya Sayyid Mustaffa Musawi gugur syahid menentang kaum kapitalis yang rakus mengaut tanah rakyat miskin. Justeru, pengalaman sewaktu kecilnya sudah awal-awal lagi sangat akrab dengan makna kesyahidan dan pembelaan mustadh'afin.

Sejak usia dini, beliau menekuni pengajian agama termasuk matematik, astronomi dan falsafah sehingga bekal ini menjadikannya kelak seorang faqih dan mujtahid yang mashyur. Di tangan Mirza Mohammad Ali Shah Abadi, beliau terpana dengan mikraj irfan serta asyik dengan isra’ hamasah. Ketika berusia 27 tahun, beliau telah membuka kelas pengajiannya yang meliputi falsafah Islam, tasawuf nazari, feqah, usul dan akhlak.

Ketegasannya menyanggah kezaliman sosial, menentang korupsi ideologi dan memulih kebejatan moral sudah terpancar semenjak awal belianya lagi. Sementara, pada tahun 1941, beliau menerbitkan buku pertamanya Kasyful Asrar yang menyenaraikan kezaliman 20 tahun pemerintah waktu itu, Reza Shah. Kitab tersebut telah menghimpun kritikan kaum kaum ulama yang belot dan ahli sufi yang pinggirkan perubahan sosial, selain mengungkapkan kriteria dan pembinaan pemerintahan Islam.

Dalam rangkaian surat serta ceramahnya, beliau menyeru para ulama agar memperkasa kesedaran rakyat serta segera bangkit melawan pemerintahan Shah. Selain itu, beliau secara konsisten membongkar tentang hubungan intim pemerintah dengan Israel, lalu mengirim amaran keras kepada pemerintah waktu itu. Sebagai jawapan, Shah menyerbu pusat pendidikan Faiziyah dan membunuh para pendukungnya. Sudahnya, yakni bermula dari peristiwa khordad tersebut, amarah rakyat terhadap kerajaan semakin membara, lebih-lebih lagi beliau telah ditangkap oleh pemerintah.

Menghadapi situasi yang penuh gawat itu, pemerintah akhirnya memutuskan untuk menghalau keluar dari tanahairnya. Bertitik-tolak dari sini, maka bermulalah episod pelariannya dari satu negara ke satu negara. Selama 11 bulan di Turki, 13 tahun di Iraq, dan beberapa bulan di Neauphle-le-Chateau, Paris, seluruh liku-liku perlariannya diisi dengan menulis kitab serta menjalinkan hubungan dengan gerakan-gerakan Islam sedunia, termasuklah di Iraq, Lebanon dan Palestin. Seruan akbarnya ketika itu ialah bangkit melawan para mustakbirin.

Dalam waktu yang sama, kebangkitan rakyat Iran sendiri tidak pernah sunyi. Kaset-kaset ucapan beliau terus tersebar ke dhamir rakyat. Manakala, episod perjuangan rakyat telah merebak dan makin membengkak setiap hari. Demikian, bila setiap rakyat yang dibunuh oleh regim, pasti diganti oleh puluhan pemuda yang bersedia untuk menjadi jantung sejarah kemanusiaan. Darah syuhada mula membanjiri segenap ingatan pemerintah dan mengusarkan Shah. Akibatnya, keadaan ssudah menjadi tidak terkawal, yang akhirnya ini memaksa Shah melarikan diri pada Januari 1979.

Bertolak dari Perancis, sebuah penerbangan tiba di Mehrabad Airport Teheran pada Februari 1979, yang bersama-sama dengan penerbangan tersebut bukan sahaja membawa seorang ulama yang sudah tua, bahkan cita-cita sebuah negara sempurna. Beliau disambut oleh jutaan rakyat yang menyayanginya. Di dataran luas, Beheshti Zahra, iaitu sebuah kuburan para syuhada, beliau mengungkapkan pidato ulungnya yang mengecam campurtangan Amerika, Israel dan sekutu Barat ekoran perkembangan terbaru negara Sassanid tersebut. Setelah 10 hari, revolusi Islam ini mengorak sebuah sistem.

Dan, selama 10 tahun terkemudian, beliau mengisi negara baru ini dengan segala doktrin-doktrin Islam. Buat julung kalinya tafsiran politik Islam telah menemukan wajahnya dalam bentuk praktikal. Kejayaan dramatik gerakan beliau telah menjadi inspirasi buat gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia. Dunia, menerusi majalah Time, mengiktiraf beliau sebagai Man of the year. Di samping itu, bersama rakyatnya, beliau memimpin utuh mempertahankan batas negara ekoran pencerobohan Iraq.

Manakala, dalam waktu yang sama, beliau tetap tegas mempertahankan sumber minyak negaranya daripada direbut oleh Barat, serta teguh hati menghadapi sekatan ekonomi dunia. Malah, dengan pedih juga beliau beliau pasrah ketika lebih 400 rakyatnya dibunuh oleh tentera Saudi sewaktu mengerjakan ibadah Haji, juga ketika menerima berita 290 rakyatnya terkorban dalam pesawat penumpang ditembak oleh tentera Amerika.

Namun, dalam segala kepayahan ini, beliau tetap tekun meneruskan ajaran dari leluhur sucinya. Beliau tetap tabah untuk terus memerintah dengan agama. Dan, pada 1 Januari 1989, beliau mengirim pesan besar kepada Mikhail Gorbachev. Suatu pesan yang bakal menghumbankan idea komunisme menjadi muzium sejarah. Malah, beliau tidak segan-segan mengajak pemimpin Soviet Union tersebut untuk menerima Islam sambil menolak materialisme Barat.

Demikian juga, tanpa mempedulikan ancaman Barat, serta dengan penuh keyakinan, beliau tekad dan nekad memfatwakan hukuman bunuh terhadap Salman Rushdie atas penerbitan buku Satanic Versesnya -- suatu fatwa yang sangat-sangat revolusioner, dan sekaligus fatwa yang membangkitkan kembali semangat ummah melawan penindasan Barat, setelah sekian lama kekosongan ikon sejagat.

Namun, hari demi hari, keadaan fizikalnya semakin melelahkannya. Kelelahannya ini akhirnya memburuk. Sudahnya, setelah 10 hari diam di hospital Teheran, akhirnya beliau aman menemui zat yang dirindu-rinduinya pada malam hari, 3 Jun 1989. Serentak dengan itu, langit ummah mendung bagaikan kehilangan sebutir bintang thurayya. Hadirnya dirasai, dan perginya ditangisi.

Maka, salam atas anda, yang telah mengisi hidup ummah dengan makna-makna baru, lalu meninggalkan pula ummah dengan segenap pesan-pesan kemanusiaan. Maka, mudah-mudahan nama anda, Ruhollah, akan terus kekal dalam catatan dan ingatan sejarah masa depan ummah; ummah yang masih ada percaya kepada tradisi dan masih menyimpan keyakinan kepada iman. Ya, salam atas anda, pemelihara ingatan agama, Ruhollah Khomeini al-Musawi!

Murtadha Muthahhari: Ulama' yang intelektual

As-Syahid Murtadha Muthahhari adalah antara kalangan sedikit ulama’ yang berjaya memadukan ciri-ciri keulamaan dan keintelektualan dalam satu keperibadian, di mana beliau bukan sekadar mendalami ilmu-ilmu Islam tradisional, malah turut fasih berbicara tentang mazhab-mazhab pemikiran Barat, lebih-lebih lagi tentang Bertrand Russell.

Memang, ini satu kelebihan yang mengagumkan! Tidak ramai tokoh yang boleh berjuang, tetapi dalam masa yang sama mampu menekuni pelbagai displin ilmu, dan Muthahhari adalah salah seorang darinya. Dan, hampir sebahagian besar waktu hidupnya dihabiskan demi merealisasikan sebuah negara yang bercitrakan Islam.

Muthahhari, dilahirkan pada tanggal 2 Februari 1919 dari kelompok keluarga alim di daerah Khurassan. Ayahnya, Hujjatul Islam Muhammad Husayn Muthahhari adalah seorang ulama’ yang dihormati lagi disegani oleh masyarakat setempat. Sejak menjadi siswa di Qum, Muthahhari sudah menunjukkan minatnya pada falsafah dan ilmu pengetahuan moden. Di Qum, Muthahhari menuntut di bawah bimbingan Ayatullah Boroujerdi dan Ayatullah Ruhollah Khomeini.

Dalam falsafah, beliau amat terpengaruh dengan pemikiran Allamah Hussayn Thabathaba’i. Muthahhari begitu tekun dan pantas menguasai ilmu-ilmu falsafah yang diajar di hauzah-hauzah. Buku-Buku yang ditulis oleh William Durant, Sigmund Freud, Bertrand Russell, Albert Einstein, Erich Fromm dan para pemikir Barat yang lainnya telah ditelaahnya dengan serius sekali.

Keseriusan Muthahhari dalam menelaah pemikiran Barat bukan kerananya malu-malu untuk menonjolkan pemikiran Islam, sebaliknya, Muthahhari cuba untuk melakukan studi perbandingan antara pemikiran Islam dan Barat. Lihat, banyak terminologi Islam telah dikupas olehnya dalam buku-bukunya, sehingga menyerlahkan lagi keupayaan Islam bagi menawarkan pemikiran alternatif.

Muthahhari, pada usia relatif yang masih muda, sudah mampu menurunkan ilmu logik, falsafah dan fiqh di Fakulti Teologi, Universiti Teheran. Dan, dalam waktu yang sama, beliau turut menjawat sebagai Ketua Jurusan Falsafah. Di samping itu, beliau tidak kekok untuk menyampaikan kuliah dalam bidang yang berbeza seperti kuliah al-Ushul, kuliah Ilmu Kalam dan kuliah al-Irfan.

Dengan ufuk ilmu ini, Muthahhari langsung tidak berminat untuk memilih keselesaan hidup, meskipun beliau ada pilihan untuk itu. Baginya, badai (perjuangan) lebih bermakna daripada damai (keselesaan hidup). Justeru, beliau menterjemahkan gagasan-gagasannya tentang erti kehidupan melalui gerak kerja aktivis dan menulis buku-buku.

Natijahnya, keaktifan beliau telah berjaya membentuk satu kombinasi ampuh bersama-sama dengan Ruhollah Khomeini dalam kerangka menentang regim Shah Pahlevi yang zalim dan menindas. Ekoran dari itu, Muthahhari telah ditahan pada 1963 akibat implikasi langsung dari peristiwa Khordad.

Manakala, ketika Imam Khomeini diasingkan ke Turki, Muthahhari telah di amanahkan untuk memangku kepimpinan gerakan rakyat Iran serta memobilisasikan para ulama’ dalam melanjutkan semangat perjuangan Islam yang dirintis oleh Ruhollah Khomeini.

Langkah-langkah politiknya jelas sekali sangat tersusun dan mengugat. Muthahhari (bersama-sama Ali Shari'ati dan Husayn Baheshti) turut mendirikan Husainiyyah-e-Irsyad yang menjadi pangkalan kebangkitan intelektual Islam sebelum revolusi meletus. Di samping itu, Muthahhari yang juga Imam Masjid al-Jawad, dan secara konsisten menggalang dukungan rakyat Iran bagi menyuarakan simpati pada perjuangan Palestin.

Pasca kemenangan Revolusi Iran 1979, Muthahhari telah dilantik menjadi anggota Dewan Revolusi. Karekteristik yang menonjol pada diri Muthahhari telah menjadinya sebagai seorang ulama yang dinamik, bersandarkan penguasaan ilmu-ilmu Islam, moden serta menatijahkannya dalam dunia aktivisme.

Akhirnya pada 2 Mei 1979, Muthahhari dipanggil pulang dengan percikan darah sebagai seorang syuhada, angkara tangan-tangan ghaib kelompok ‘Munafiqqin Khalq’. Hari ini, tanpa Muthahhari sekalipun, ilmu-ilmunya masih tetap memancar mengukuhkan lagi khazanah keilmuan Islam. Muthahhari, terima kasih atas bakti anda!

Ali Shari’ati: Ikon revolusi

Kalangan personaliti revolusi Islam Iran, Ali Shari'ati merupakan satu nama yang mewakili kelompok intelektual sebaris dengan Mehdi Bazargan. Di satu kelompok lagi, di kalangan agamawan, terdapat nama-nama lain seperti Murtadha Muthahhari, Husayn Beheshti dan Mahmoud Taleqani. Namun, yang paling nyata, Shari'ati kerap disebut-sebut sebagai antara arkitek politik yang paling signifikan dalam memprakasai revolusi Islam Iran berbanding dengan nama-nama yang lain, selain daripada Ruhollah Khomeini.

Ali Shari'ati, merupakan anak pertama Muhammad Taqi Shariati dan Zahraa yang lahir pada 24 November 1933 di sebuah desa permai berdekatan Sabzavar di tepi gurun Kavir. Peribadi yang pertama kali mendidiknya tentunya ayahnya sendiri, salah seorang ulama' yang dihormati di Mashhad. Di waktu kanak-kanak, ketika teman-temannya asyik bermain, aktiviti harian Ali Shari'ati pula hanyalah bersama buku-buku sastera seperti Les Miserable karya Victor Hugo. Minat Shari’ati ini bertambah bila dibantu dengan khutub khanah yang dipunyai oleh ayahnya.

Pada 1955, Ali Shari’ati telah diterima masuk ke Fakulti Sastera Universiti Mashhad. Di sinilah bermula penyerlahannya dalam perjuangan politik, sosial dan intelektualnya. Tahun-tahun yang menyusul dalam kehidupan Shari'ati telah ditandai dengan tumbangnya Perdana Menteri Musaddiq angkara tekanan politik regim Shah Iran. Ali Shari’ati sendiri terpaksa mendekam selama beberapa bulan dalam penjara kesan daripada penetangannya terhadap tindakan regim Shah Iran ini.

Pada tahun 1959, Shari'ati melanjutkan pendidikannya ke Sorbonne dalam bidang sosiologi. Walaupun jauh daripada tanahairnya, Shari'ati tetap prihatin terhadap gerakan politik di Iran. Secara aktif, Shari'ati telah bergabung dalam organisasi yang akrab dengan misi untuk melawan regim Shah Iran. Pada tahun 1964, sepulangnya ke Iran, Shari'ati telah ditahan. Enam bulan berlalu, ekoran tekanan antarabangsa ke atas regim Shah Iran, Shari'ati akhirnya dibebaskan dan kembali meneruskan kegiatannya sebagai ahli akademik sosiologi di Universiti Mashhad.

Keadaan ini tidak lama. Lantaran tekanan pemerintah, melalui universiti, Shari'ati terpaksa meninggalkan kampus tersebut. Maka, bermulalah episod paling signifikan dalam kehidupannya. Shariati bersama-sama dengan beberapa teman telah mendirikan Husainiyyah-e Irsyad, sebuah institut Islam di Kota Teheran. Institut ini berperanan menganjurkan aktiviti intelektual, yang sebahagian besar disertai oleh kumpulan mahasiswa.

Namun, apabila regim Shah Iran melihat aktiviti Shari'ati ini boleh mengancam pemerintah, maka Husainiyyah-e Irsyad telah ditutup. Manakala, Shari'ati di tahan dan kembali meringkuk dalam penjara sebagai tahanan politik. Setelah 18 bulan, Shari'ati dibebaskan. Pada 16 Mei 1977, Shari'ati memilih untuk meninggalkan Iran, lalu menuju ke London,sebelum disusuli pula oleh isteri dan anaknya, Ehsan.

Malangnya, tidak berapa lama kemudian, iaitu pada 19 Jun 1977, Shari'ati ditemui terbujur di kediamannya. Sebab kematiannya menjadi cukup misteri, sehingga banyak pihak yang mengaitkannya dengan kegiatan SAVAK, badan polis rahsia Iran ketika itu. Seperti wasiatnya, Shari'ati dimakamkan di Damsyik, besebelahan dengan makam Zaynab Rahimahullah, cucu Rasulullah saw.

Demikianlah perjalanan seorang intelektual yang begitu mengesankan. Terbukti, Shari'ati telah gugur kerana memperjuangkan maslahat kaum mustadh’afin. Malah, kata-katanya bahawa syahid itu jantung kemanusiaan, akhirnya benar-benar tercermin melalui bentuk kematiannya, seperti juga bentuk kematian tokoh yang dicanang-canangkannya, Ali bin Abi Talib dan Abu Dzar Al-Ghifari.