Monday, November 20, 2006

Abdul Aziz Al-Rantisi: Lokomotif HAMAS

Dr. Abdul Aziz Al-Rantisi di lahirkan pada tahun 1947 di desa Yabna, sebuah kampung dalam daerah Asqalan, Israel. Beliau di percayai berasal dari kalangan keluarga besar yang melata antara Damsyik, Amman, dan Semenanjung Gaza. Manakala, minat Rantisi pada dunia politik sebenarnya sangat di dorong oleh penderitaan yang dialaminya semenjak kanak-kanak lagi.

Daripada suasana keperitan sebeginilah yang mencorak keperibadiannya yang sangat tegas dan sukar untuk berkompromi terhadap sebarang kezaliman. Beliau juga terkenal sebagai orator yang mampu memukau puluhan ribu pendengar. Di samping itu, beliau sering kali menjadi khatib shalat Jumaat di masjid-masjid sekitar Semenanjung Gaza.

Alumni Fakulti Perubatan Universiti Alexandria, Mesir, tahun 1971 ini telah mencebur diri dalam perjuangan secara serius semasa beliau menuntut lagi. Ketika di universiti beliau telah mula berhubungan dengan tokoh-tokoh Islam Mesir seperti Sheikh Mahallawi, Sheikh Mahmoud Ied, Ustaz Isa Abduh, dan Ustaz Adil Ied.

Kerana kekagumannya terhadap pergerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir, pada tahun 1972, sekembalinya dari Alexandria, Rantisi terus bergiat sebagai doktor di bandar Khan Yunis. Di khabarkan pada satu peristiwa, beliau telah mengumpulkan para doktor Palestin sambil mengancam untuk melakukan aksi mogok sebagai tanda protes di atas perlakuan tidak adil oleh penjajah Israel yang ketika itu mengendalikan urusan kesihatan di wilayah Palestin. Susulan daripada tindakan tersebut, penjajah Israel lantas meluluskan tuntutan kumpulan Rantisi yang mendesak agar sebahagian para doktor Palestin di benarkan meneruskan pengajian ke peringkat sarjana.

Satu perkara yang kurang diketahui ramai ialah peristiwa yang berlaku semasa beliau di tahan dalam penjara oleh penjajah Israel. Pada ketika itu, beliau terkurung di sel tahanan Negev di samping beliau telah ditempatkan di dalam sel tahanan yang terasing selama tiga bulan. Dan, pada kesempatan tersebut telah di gunakan sebaik-baiknya oleh Rantisi untuk menghafal al-Quran.

Setelah di bebaskan dari tahanan tersebut, Rantisi telah mengkoordinasikan para doktor Palestin untuk kembali melancarkan mogok pada tahun 1981, yang akhirnya menyebabkan tercetusnya pergerakan penentangan terhadap penjajah Israel. Lalu, ekoran daripada insiden tersebut, beliau telah dikenakan tahanan dalam rumah serta dilarang melakukan tugas-tugasnya sebagai seorang doktor di kliniknya sendiri.

Lantaran kekangan yang tidak bertamadun tersebut, Rantisi membuat keputusan untuk menjual kliniknya pada tahun 1983 dan kembali berkerja dengan salah sebuah Hospital di Palestin. Sebaliknya pada 1985, Israel yang sekian lama tidak senang dengan aktiviti dan pengaruh beliau, telah memecat Rantisi dari tempat kerja tersebut. Semenjak dari itu, Rantisi bekerja sebagai tenaga akademik di Universiti Islam di Gaza City serta turut menjadi khatib tetap yang begitu popular di Masjid Rahmah, Semenanjung Gaza.

Akhirnya, pada 9 November 1987, setelah menimbang segala kemungkinan, Rantisi bersama-sama As-Syahid Sheikh Ahmed Yassin telah mengasaskan Hamas. Bersamaan dengan itu juga bumi Palestin telah bergoncang dengan ledakan intifada pertama yang berakhir pada tahun 1993 susulan daripada perjanjian damai Oslo antara Israel dan PLO.

Bermula daripada detik inilah, Rantisi seringkali menjadi jurubicara rakyat Palestin dalam mempertahankan hak-hak rakyat Palestin dari mangsa kekejaman Israel. Karismatik peimpinannya, memang jelas tidak di senangi oleh Israel. Apatah lagi beliau cukup berwibawa bilamana berdepan dengan segala macam media massa yang di ketahui amat gemar dengan kemampuan bahasa Inggeris. Manakala, ketika tercetusnya intifadha kedua pada tahun 2001, Rantisi juga telah memperlihatkan keperibadiannya sebagai seorang pejuang yang di geruni oleh penjajah Israel selepas Syeikh Ahmad Yasin dan Khaleed Mashaal.

Setelah pemergian pemimpin spiritual HAMAS, Syeikh Ahmad Yassin sebelan yang lalu, Rantisi telah secara konsesus telah di lantik untuk memimpin HAMAS di semananjung Gaza. Namun, Israel jelas tidak senang dengan pendirian "garis keras” yang dianuti oleh Rantisi. Dan, sebelum sempat beliau mencatur strategi perjuangan pasca kesyahidan Syeikh Ahmad Yassin, beliau juga turut menyusuli jejak langkah bekas pemimpinnya itu.

Namun, sebelum beliau pergi, sempat beliau memberi amaran kepada penjajah Israel, “Saya ingin katakan kepada anda agar anda sentiasa bertenang, seandainya Rantisi, Az Zahhar, Haneya, Nazzar Rayyan, Said Sayyam, dan semuanya pergi gugur syahid, demi Allah kami akan bertambah gemilang dan semakin mencintai jalan ini. Tangan-tangan kita yang menggenggam senapang di dunia Insyallah, ruh-ruh kita akan berpelukan di sisi Allah. Kerananya, silakan Ariel Sharon dan kaum konspirator memetik harapannya di sini, tetapi kami akan tetap meneruskan perjuangan ini. Jalan kami memang sukar. Namun, inilah satu-satunya jalan yang membawa kami kepada cita-cita kami.”

Sesungguhnya, pada 17 April 2004, Rantisi telahpun memenuhi cita-citanya. Rantisi telah mengisi hidupnya dengan penuh makna, lalu pergi pula dengan meninggalkan pesan-pesan kemanusiaan. Mudah-mudahan nama Abdul Aziz Al-Rantisi terus kekal dalam lipatan sejarah kaum mustadh'afin.

No comments: